PKWPS Teruskan Usaha Kumpul Salasilah Keturunan Di Sarawak
KUCHING: Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS) kini meneruskan usaha mengumpul sebanyak mungkin salasilah keluarga Pengiran, Wan, Awang, Dayang, dan keturunan-keturunan lain yang berasal dari Sarawak.
Pengerusinya, Awang Magerib Awang Anie berkata, usaha ini bertujuan untuk memastikan setiap individu dalam keturunan tersebut diberikan pengiktirafan yang sewajarnya, dan warisan mereka dihargai serta diteruskan kepada generasi akan datang.
"Setakat ini, keahlian yang telah terkumpul hampir mencecah 400 orang, dan kami juga sedang aktif memperluaskan keahlian dengan memberi tumpuan kepada penyertaan wanita dan belia, demi memperkukuh dan memajukan pertubuhan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Isnin.
Menerusi kunjungan itu, Awang Magerib mengungkapkan rasa syukur atas sokongan penuh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi, yang telah mencadangkan agar pihaknya bekerjasama dengan pakar-pakar berpengalaman dan berilmu dalam bidang sejarah.
Kerjasama ini, menurutnya, bertujuan untuk mendokumentasikan hasil kajian dan pencarian berkaitan keturunan mereka dalam sebuah buku, sebagai rujukan sejarah yang akan memastikan warisan tersebut tidak hilang ditelan zaman.
"Kami menyokong penuh hasrat Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi untuk mengembalikan nostalgia yang ada di Sarawak. Jadi, kami giat mengatur strategi dalam aspek pentadbiran, organisasi, dan tatakelola bagi memperkukuh kedudukan sebagai sebuah pertubuhan yang berperanan melestarikan warisan serta sejarah keturunan.
"Di samping itu, kami juga sedang menunggu pengiktirafan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya kami boleh melaksanakan pelbagai program berkaitan warisan atau mengesahkan kelahiran ahli baharu dalam keturunan yang mungkin sebelum ini kurang diberi perhatian," ujarnya lagi.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Penasihat PKWPS Awang Indra Awang Mostapha dan Dr. Awang Nip Zuhairi Awang Ahmad, Timbalan Pengerusi PKWPS Awang Khalik Awang Yusuf, serta beberapa ahli PKWPS.-EDISI UKAS