Berambeh Raya Eratkan Silaturahim, Perkukuh Perpaduan Kampung
MUKAH: Penganjuran Majlis Berambeh Raya 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tutus Ulu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, majlis seumpama itu mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan yang menjadi asas kekuatan komuniti setempat.
“Nilai ini perlu terus dipelihara demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan kampung sentiasa terjamin,” katanya semasa berucap dalam program itu pada Sabtu.
Menurut Abdul Yakub, Aidilfitri bukan sahaja menandakan kemenangan selepas menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan, malah menjadi waktu terbaik untuk saling bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan sesama insan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa dewan kampung yang menjadi lokasi majlis telah dinaiktaraf dan siap sepenuhnya pada September tahun lalu, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Tambahnya, kemudahan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana yang lebih baik kepada rakyat serta menyokong pembangunan berterusan di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk agar terus memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan serta aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan, sekali gus memastikan Kampung Tutus Ulu dan Kampung Kelaup terus maju dan berdaya saing.-EDISI UKAS