Sambutan Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Pulat Imbau Nostalgia Raya
BALINGIAN: Konsep Nostalgia Raya yang diketengahkan dalam Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 berjaya menghidupkan suasana kemeriahan sambutan sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Pulat dan kawasan sekitarnya.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulat itu berlangsung meriah di Gelanggang Futsal Kampung Pulat, pada Sabtu dengan pelbagai pengisian aktiviti menarik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N58 Balingian, Abdul Yakub Arbi, berkata, majlis seperti itu bukan sekadar platform untuk meraikan Aidilfitri, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian komuniti.
“Semangat kebersamaan inilah yang perlu terus dipelihara agar warisan budaya kita tidak dilupakan oleh generasi muda,” katanya semasa berucap.
Abdul Yakub turut memuji usaha JKKK Kampung Pulat yang komited menganjurkan program berunsur kemasyarakatan, sekali gus menghidupkan suasana Aidilfitri dengan pendekatan yang kreatif dan penuh nostalgia.
Pelbagai aktiviti lain turut disusun bagi memeriahkan suasana, termasuk jamuan makan, pertandingan nyanyian kanak-kanak, pertandingan fesyen nostalgia raya bagi kategori dewasa, karaoke berantai serta acara selingan berbentuk persembahan nyanyian.
Hadir sama ialah Penghulu Harbi Bakir dan Ketua Kaum Kampung Pulat Harun Ulis.-EDISI UKAS