29 Projek Pembangunan Berimpak Besar Telah Dilaksana Di Kampung Baru
DARO: Sebanyak 29 projek pembangunan berimpak besar dengan peruntukan mencecah RM10.53 juta telah dilaksanakan di Kampung Baru, di sini, sekali gus memastikan kawasan itu terus menikmati kemajuan berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, pembangunan tersebut membuktikan kampung berkenaan tidak pernah tercicir daripada arus pembangunan sejak beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat.
“Ini belum termasuk pelaksanaan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang turut memberi manfaat besar kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447H/2026 di Kampung Baru, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dr. Safiee berkata pembangunan di Kampung Baru turut melibatkan kemudahan asas dan prasarana komuniti.
Pada peringkat awal, katanya, kampung tersebut hanya mempunyai sebuah surau bersifat sementara, namun kini telah memiliki surau baharu yang turut dinaik taraf bagi keselesaan penduduk.
Selain itu, ADUN Daro berkenaan berkata, sebuah dewan serbaguna turut dibina bagi kegunaan pelbagai aktiviti masyarakat.
Pada majlis berkenaan, beliau telah merasmikan gelanggang futsal yang telah diusulkan oleh golongan belia kampung pada tahun lalu, sekali gus membuktikan keprihatinan pihak kerajaan terhadap keperluan generasi muda.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Kampung Baru atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan, khususnya dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian di peringkat kampung.
Dalam majlis yang sama, Dr. Safiee turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah keseluruhan RM20,000 kepada beberapa organisasi tempatan, iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Hilir, JKKK Kampung Baru Hulu serta PPWS bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti dan pembangunan setempat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro Faizol Hashim, Penghulu Abu Bakar Salleh, Penghulu Jebli Ngok, Ketua Kaum Kampung Baru Hilir Hanim Ali serta Ketua Kaum Kampung Baru Hulu Ladi Man.-EDISI UKAS