TEGAS Pacu Graduan TVET, STEM Jadi Pencipta Peluang Kerja
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memperkukuh usaha melahirkan graduan TVET dan STEM bukan sekadar pencari kerja, sebaliknya pencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan ekosistem startup.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh berkata, platform disediakan khusus kepada anak muda dalam bidang digital dan teknikal vokasional bagi mencetuskan inovasi serta membangunkan startup sendiri.
“Oleh sebab itulah, TEGAS sebagai sebuah agensi bukan kerajaan tetapi dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti SMA, SDEC dan sebagainya untuk menjadi pemangkin kepada penggunaan digital serta pembangunan startup-startup yang berpaksikan kepada digital dan pendidikan teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelepasan LCDA Sapphire Run 1.0 Bersama Komuniti di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, pelbagai program TEGAS kini memberi tumpuan kepada bidang teknikal, vokasional dan digital, khususnya bagi memperkasa anak muda Sarawak agar lebih berdaya saing dalam ekonomi baharu.
Menurutnya, TEGAS turut bekerjasama dengan lebih 60 rakan strategik daripada agensi kerajaan dan sektor swasta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif yang menggalakkan pembangunan idea, inovasi serta penubuhan startup dalam kalangan belia.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembangunan TEGAS Digital Village sedang diperluaskan dengan penyediaan prasarana termasuk hotel dan lodge bagi menyokong keperluan golongan digital nomad serta memperkukuh ekosistem digital Sarawak.
Jelasnya, pembangunan berkenaan dijangka direalisasikan dalam tempoh dua setengah hingga tiga tahun akan datang, sekali gus mewujudkan hab bersepadu yang membolehkan golongan profesional tempatan dan antarabangsa bekerja, menginap serta menjalankan aktiviti harian di satu lokasi lengkap.
Turut hadir, Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Controller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Datu Jack Liam, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Zainal Abidin Abdullah serta Pengarah DBKU Ramzi Abdillah. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Nabilla