Sinergi Kepimpinan Akar Umbi Tunjang Kejayaan Majlis Berskala Besar
ASAJAYA: Perpaduan dan kerjasama erat yang ditonjolkan penduduk Kampung Tambirat Lot menjadi contoh teladan dalam menjayakan majlis berskala besar, termasuk program Ramah Tamah Aidilfitri di kawasan Asajaya.
Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang berkata, semangat gotong-royong dan kesatuan yang padu membuktikan kepimpinan di peringkat akar umbi terus menjadi tonggak utama dalam memperkukuh keharmonian hidup bermasyarakat serta memacu pembangunan sosial setempat.
Tambahnya, penglibatan aktif komuniti dalam menjayakan majlis berskala besar seperti ini mencerminkan kualiti kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang cemerlang.
"Syabas kepada seluruh warga Kampung Tambirat Lot kerana berjaya menterjemahkan konsep perpaduan melalui majlis yang cukup meriah ini.
"Kerjasama antara blok dan semangat saling membantu ini adalah aset penting dalam memastikan pembangunan sosial di daerah Asajaya terus berkembang positif," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Tambirat Lot 2026 di Arena Gelanggang Futsal, Kampung Tambirat Lot pada Sabtu.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan Pertandingan Gerai Tercantik yang melibatkan penyertaan daripada lapan blok di dalam Kampung Tambirat Lot dengan mengetengahkan konsep 'Raya Meriah Kampung'.
Blok 2 telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan berdasarkan penilaian teliti oleh tiga orang juri jemputan dari SMK Hajah Laila Taib Asajaya.
Dalam pada itu, sebagai tanda keprihatinan sosial, pihak JKKK dan KRT Tambirat Lot turut menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada adik Dhia Khadeeja Kamri yang sedang berjuang dengan masalah kesihatan buah pinggang.
Suasana majlis bertambah ceria dengan persembahan karaoke lagu-lagu raya yang disampaikan oleh finalis Bintang Kecil Zon Sarawak 2019, Nur Nazirah binti Ridzuan, selain persembahan daripada penduduk kampung sendiri. -EDISI UKAS