Kolej Vokasional Betong Pemangkin Modal Insan Berkemahiran Tinggi
BETONG: Kolej Vokasional Betong terus membuktikan keupayaannya sebagai institusi penting dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi khususnya dalam bidang vokasional dan teknikal sejak penubuhannya pada 1984.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, menegaskan bahawa kadar kebolehpasaran lepasan kolej ini amat membanggakan dengan rekod mencapai 100 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain melahirkan graduan berkemahiran tinggi, kolej itu katanya akan berperanan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan dan kemajuan ekonomi negeri.
“Ini membuktikan bahawa pelajar lepasan Kolej Vokasional Betong berupaya memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
“Dengan kapasiti menampung sehingga 900 pelajar dan kadar enrolmen semasa sebanyak 86 peratus, saya yakin kolej ini mampu terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, khususnya di Betong.”katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Kolej Vokasional Betong Tahun 2024 di Dewan Sri Kenanga baru-baru ini.
Beliau turut menyeru pelajar untuk memanfaatkan peluang yang wujud dalam industri baharu seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan penyimpanan karbon yang sedang berkembang di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam ucapannya juga, Dato Gerald menekankan kepentingan latihan berterusan untuk guru vokasional bagi memastikan kebolehpasaran graduan kekal tinggi.
Selain itu, beliau juga menyeru ibu bapa agar terus menyokong potensi anak-anak mereka dalam mengejar kecemerlangan.
Majlis yang dihadiri lebih 500 orang ini menyaksikan seramai 243 pelajar menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Pengarah Tahun 2024.
Anugerah tertinggi tersebut bagi Program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dimenangi oleh Crosby Melvyna Saimi dari Program Diploma Perakaunan, manakala Nur Izzah Hazirah Iswandi menerima anugerah tersebut bagi Program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dari Program Sijil Perakaunan. -EDISI UKAS