32 Tong Sampah Individu Diserah Kepada Pemilik Kedai Di Kota Sentosa
KUCHING: Usaha memastikan kawasan komersial lebih bersih dan teratur terus diperkukuh apabila Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menyerahkan 32 tong sampah individu kepada pemilik kedai di Pusat Komersial Batu Tujuh pada Jumaat.
Pengerusi MPP, Cr Tan Kai berkata, penyerahan itu merupakan inisiatif pihak majlis bagi membantu komuniti peniaga mendapatkan tong sampah baharu, selain menggantikan tong yang hilang atau rosak.
Menurut beliau, langkah berkenaan diharap dapat mengurangkan isu pembuangan sampah secara haram di kawasan tersebut, sekali gus memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan dengan lebih tersusun.
Beliau turut mengingatkan para penerima supaya menjaga tong sampah yang disediakan kerana ia merupakan aset dan tanggungjawab pemilik masing-masing.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Cr Tan Kai bersama Kapitan Lee Tho Fung.
Orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa peka dan melaporkan kepada MPP atau Trienekens sekiranya berdepan sebarang isu berkaitan tong sampah.-EDISI UKAS