Belia Asajaya Serlah Kreativiti Dalam Pertandingan Gubahan Bunga
ASAJAYA: Kreativiti golongan belia terus terserlah menerusi penganjuran Pertandingan Gubahan Bunga sempena Program BeliaGoBiz dan Sarawak X-Tive @ Asajaya 2026 di Kompleks Sukan Asajaya, pada Jumaat.
Pertandingan bertemakan Gubahan Bunga Meja itu berjaya menarik penyertaan seramai 20 peserta berusia antara 15 hingga 40 tahun yang menampilkan pelbagai konsep serta rekaan kreatif menerusi hasil seni hiasan masing-masing.
Program berkenaan turut disaksikan Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin bersama Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang yang hadir memberikan sokongan kepada para peserta selain menyantuni pengunjung yang hadir memeriahkan program tersebut.
Penganjuran pertandingan itu merupakan antara pengisian utama sempena Program BeliaGoBiz dan Sarawak X-Tive @ Asajaya 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Program berskala besar anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu dijadual dirasmikan esok oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Selain pertandingan gubahan bunga, pelbagai aktiviti menarik turut disusun sepanjang program berlangsung termasuk jualan usahawan, Belia Got Talents, Battle of the Buskers, pertandingan bola sepak sebelah, Sarawak X-Tive Fun Run serta pertandingan tarik tali.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan terkenal Ameng Spring pada majlis perasmian esok selain cabutan bertuah yang dijangka menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
Penganjuran program itu dilihat bukan sahaja menjadi platform pembangunan belia dan usahawan muda, malah berupaya mengeratkan hubungan komuniti serta mencungkil bakat kreatif dalam kalangan generasi muda di kawasan Asajaya dan Samarahan secara keseluruhannya.-EDISI UKAS