SK Nanga Enteban Dibina Semula Di Bawah Projek Sekolah Daif 2.0
BETONG: Projek pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Enteban di bawah inisiatif Sekolah Daif 2.0 dilaksanakan bagi memperkukuh akses pendidikan berkualiti serta menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif kepada pelajar luar bandar.
Majlis pecah tanah projek berkenaan telah disempurnakan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi di Dewan SK Nanga Enteban pada Jumaat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa.
Menurut Roy Angau, penyediaan fasiliti pendidikan yang lebih kondusif amat penting dalam memastikan murid luar bandar menikmati hak pendidikan yang berkualiti dan sistematik.
Katanya, pembinaan kemudahan baharu termasuk asrama dan kuarters guru dijangka meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran selain memberi ruang lebih baik kepada guru membimbing pelajar.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur pendidikan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada generasi muda, malah menjadi pelaburan jangka panjang kepada pembangunan komuniti setempat.
Sementara itu, Johnical Rayong menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan dalam menaik taraf sekolah yang sebelum ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).
Beliau berharap pembinaan bangunan baharu setinggi empat tingkat itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan cemerlang khususnya dari kawasan Ulu Skrang.
Projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana itu mempunyai tempoh kontrak selama 30 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 September 2028.
Skop projek merangkumi pembinaan blok pentadbiran dan akademik, asrama pelajar lelaki dan perempuan, dewan makan, kuarters guru, gazebo, pondok pengawal serta kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan infrastruktur luar.
Pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan pendidikan luar bandar menerusi penyediaan infrastruktur sekolah yang lebih moden, selesa dan berkualiti.-EDISI UKAS