SFCF 2026 Kembali Meriahkan Samarahan, Perkukuh Pelancongan & Ekonomi Komuniti
KOTA SAMARAHAN: Samarahan Food & Cultural Festival (SFCF) 2026 bakal kembali memeriahkan Kota Samarahan apabila dijadual berlangsung selama 10 hari bermula 26 Jun hingga 5 Julai 2026 di pekarangan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Pengerusi Perbandaran MPKS, Abang Ismawi Abang Ali berkata, festival tersebut akan mengetengahkan kepelbagaian makanan, budaya, seni dan warisan masyarakat Sarawak dalam usaha memperkukuh kedudukan Kota Samarahan sebagai destinasi pelancongan budaya dan gastronomi yang berdaya saing.
Katanya, kejayaan penganjuran SFCF tahun lalu yang menerima kira-kira 300,000 pengunjung menjadi pemangkin kepada MPKS untuk menjadikan festival berkenaan sebagai acara tahunan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Perpustakaan Awam MPKS, di sini pada Jumaat.
Tambahnya lagi, festival itu bukan sahaja berfungsi sebagai platform mempromosikan produk makanan tradisional, moden dan popular, malah turut memperkenalkan keunikan budaya serta warisan masyarakat pelbagai etnik di Sarawak kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Ujar beliau, penganjuran SFCF 2026 turut memberi fokus kepada pembangunan ekonomi komuniti melalui penyertaan usahawan kecil dan sederhana selain memperkukuh kerjasama strategik antara agensi, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.
Majlis perasmian festival dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 27 Jun 2026.
Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang festival termasuk pertandingan Ratu Kebaya dan Ratu Cilik Kebaya, Battle of Buskers, Samarahan Idol, pertandingan bertandak Melayu dan karaoke Cina.
Selain acara pentas, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti Night Run, pertandingan e-sport, street soccer, memanah, seni silat tari, pertandingan memasak, karom, pesta nanas, gubahan bunga, slingshot, hiasan kek, mewarna dan autoshow.
Festival itu juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan seperti Nai Dinamik, Faris Malek, Nurhijrah, Rizal AF, Lucy M, Leez Zwita, Ricky Andrewson dan Allesandro.
Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS Gustian Durani dan wakil Residen Bahagian Samarahan Janfytria Abu Bakar. -EDISI UKAS