Dato Gerald Turun Padang Pantau Projek RTP Di Konstituensinya
BETONG: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu turun padang baru-baru ini untuk meninjau pelaksanaan dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di konstituensinya bagi memastikan ianya berjalan seperti dirancang.
Projek tersebut adalah 'Naiktaraf Jalan di Rumah Panjang TR David Jingan, Nanga Graji, Padeh' dan Projek 'Bina Baru Culvert dan Dataran Kejat di Belakang Rumah Panjang Skuyat Lama'.
Ditemui media semasa tinjauan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar memberitahu projek naiktaraf jalan di Rumah Panjang TR David Jingan, Nanga Graji, yang bermula pada 13 November 2024 mengalami kelewatan dan berada di belakang jadual.
“Namun, hasil tinjauan dan perbincangan bersama agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong, serta pihak kontraktor telah merungkai punca kelewatan.
“Langkah penyelesaian segera diambil bagi memastikan kerja-kerja dapat diteruskan dengan lebih lancar,” katanya ketika ditemui media di sini pada Khamis.
Manakala Projek Bina Baru Culvert dan Dataran Kejat kini mencecah 80% iaitu 10% mendahului jadual dan dijangka dapat disiapkan sebelum 24 Februari 2025.
Menurut Dato Gerald, tinjauan secara berkala ini bukan sahaja bertujuan untuk memantau kemajuan tetapi juga memastikan setiap projek yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap projek pembangunan di bawah inisiatif RTP.
Dato Gerald Rentap kemudiannya meluangkan masa bertemu dengan penduduk setempat, termasuk tuai rumah dari dua rumah panjang terlibat untuk mendengar pandangan dan keperluan mereka.
Beliau juga mengadakan perbincangan menyeluruh bersama pihak kontraktor dan agensi pelaksana bagi memastikan setiap isu teknikal dapat diselesaikan segera tanpa menjejaskan kualiti projek.
Hadir sama Jurutera Awam dari JKR Bahagian Betong, Dayang Nurashreen Muneera Awang Mahmud, Jurutera dari Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong Olivia Michelle serta tetamu lain.-EDISI UKAS