Pembangunan Ngemah Terus Dapat Perhatian Kerajaan Sarawak
SIBU: Kesejahteraan penduduk luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah terus diberi perhatian oleh Kerajaan Sarawak melalui pelaksanaan beberapa projek infrastruktur yang dirancang, bagi mempertingkatkan kemudahan asas, akses perhubungan serta kualiti hidup masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, berkata projek pembinaan jambatan Rumah Nyaru yang menyeberangi Sungai Bat akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Selain itu, projek jalan dari Nanga Bat ke Nanga Perak kini telah mencapai 86 peratus siap berdasarkan data Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bagi kawasan Nanga Jagau pula, Kerajaan Sarawak akan mengambil alih jalan balak sedia ada sebagai laluan sementara sementara menunggu pembinaan jalan baharu dari Nanga Perak ke Nanga Jagau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek (MRP–PPRMS) di Rumah Sobrie Mukow, Nanga Bat Kerangan (1), Sungai Ngemah, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Anyi berkata Rumah Panjang Sobrie akan diberi keutamaan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 untuk komuniti berkenaan.
Menyentuh aspek pendidikan, beliau memuji pencapaian sekolah di kawasan itu, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nanga Dap yang mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), serta SMK Sedaya dengan 177 daripada 178 pelajar lulus peperiksaan tersebut.
Dalam pada itu, Anyi menegaskan prinsip “kepimpinan melalui teladan” sebagai asas penting dalam memastikan pembangunan luar bandar terus dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata prinsip itu selari dengan gagasan yang pernah diketengahkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menekankan peranan pemimpin sebagai contoh kepada rakyat.
“Konsep ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ yang pernah diketengahkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut seseorang pemimpin menjadi contoh terbaik kepada rakyat.
“Peranan ini bukan sahaja terletak pada Penghulu dan Tuai Rumah, malah termasuk diri saya sendiri sebagai wakil rakyat,” katanya.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah isteri Anyi, Gelim Utan, wakil Pejabat Daerah Kanowit, Clinton Jelai, Tuai Rumah Sobrie Mukow, Penghulu Pree, tuai-tuai rumah dan penduduk setempat.-EDISI UKAS