Sesi Libat Urus SKAS Padawan Selesaikan 777 Kes Hari Pertama, Fokus Tingkatkan Akses Penduduk Luar Bandar
PADAWAN: Sesi libat urus Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di Daerah Kecil Padawan berjaya menyelesaikan 777 kes pada hari pertama pelaksanaannya.
Selain itu, sebanyak 68 kes khas turut dikenal pasti melibatkan isu teknikal dan akses kepada teknologi, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikendalikan sebanyak 845.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini melibatkan tiga lokasi iaitu Pejabat Daerah Kecil Padawan, Balai Raya Kampung Annah Sadir dan Dewan Serbaguna Kampung Biya Assum.
Sesi ini bertujuan memastikan penerima bantuan dapat menyelesaikan pendaftaran serta menyelesaikan isu berkaitan SKAS.
Lawatan khas oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, mempamerkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan masyarakat di kawasan luar bandar.
Lawatan ini turut diiringi oleh Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong serta Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mambong Wilson Ahon.
Sesi ini dikuatkan lagi dengan kehadiran sukarelawan daripada Exco Pemuda PBB Cawangan Mambong yang membantu melancarkan proses pendaftaran dan penyelesaian kes.
Antara isu utama yang dikenal pasti dalam kategori kes khas ialah ketiadaan telefon pintar, penggunaan telefon versi lama tanpa kamera depan, serta nombor telefon yang didaftarkan dalam sistem Sarawak Pay (SPay) Global tetapi tidak pernah digunakan.
Beberapa penerima juga mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam kelayakan fasa pertama, walaupun mereka memenuhi semua syarat kelayakan.
Bagi memastikan tiada golongan yang tercicir, langkah segera telah diambil termasuk merekodkan kes untuk tindakan lanjut, log tiket kepada Sarawak Information System (SAINS) untuk kes teknikal, serta menasihatkan klien membuat permohonan baharu atau rayuan bermula 1 Februari 2025.
Maklum balas serta cadangan beberapa langkah penambahbaikan untuk memastikan akses yang lebih baik kepada penduduk luar bandar turut dikemukakan termasuk pembukaan kaunter harian di Pejabat Daerah Kecil Padawan, pelaksanaan jerayawara SKAS dan melatih Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengendalikan kaunter SKAS di peringkat kampung.
Sesi ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dengan fokus memastikan teknologi dan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. -EDISI UKAS