Projek Naiktaraf Prasarana RM7 Juta Perkasa Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar Bukit Saban
SPAOH: Usaha berterusan memperkasa kesejahteraan rakyat luar bandar terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Projek Naiktaraf Prasarana melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7 juta di kawasan DUN Bukit Saban.
Inisiatif yang dilaksanakan melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan kerjasama Majlis Daerah Betong itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan kediaman rakyat, khususnya di rumah panjang, kampung Melayu serta penempatan kebun Cina yang layak.
Kira-kira 200 peserta menghadiri sesi libat urus yang diadakan di Dewan Masyarakat Spaoh, pada Khamis melibatkan wakil daripada 51 buah rumah panjang terdiri daripada Tuai Rumah, bendahari dan setiausaha bagi mendapatkan penerangan terperinci berkaitan pelaksanaan projek.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, pendekatan baharu pelaksanaan projek tersebut dilihat lebih berkesan berbanding kaedah terdahulu.
“Pendekatan ini membolehkan bantuan disalurkan secara terus kepada penerima bagi pembelian bahan binaan, sekali gus memberi peluang kepada penduduk melaksanakan kerja-kerja naiktaraf secara gotong-royong,” katanya.
Menurut beliau, kaedah sebelum ini yang menggunakan kontraktor hanya melibatkan sebahagian kecil rumah dalam sesebuah rumah panjang dan didapati kurang memberi impak menyeluruh.
Tambah beliau, kadar bantuan yang sebelum ini berjumlah RM3,000 bagi setiap pintu turut ditingkatkan kepada RM5,000 bermula tahun ini sejajar dengan peningkatan kos bahan binaan.
Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan projek tersebut diperkemaskan lagi melalui peranan BDDA sebagai salah satu daripada sembilan Agensi Pembangunan Wilayah Sarawak yang menerima peruntukan khas kerajaan negeri bagi mempercepat pembangunan di kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa semua dana BDDA merupakan peruntukan Kerajaan Sarawak yang sentiasa komited memperkenalkan pelbagai dasar serta inisiatif pembangunan demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek tersebut melengkapkan bantuan sedia ada seperti MRP dan PPRMS yang mempunyai kekangan dari segi peruntukan tahunan.
Sementara itu, Majlis Daerah Betong dilantik sebagai agensi teknikal bagi membantu pelaksanaan projek termasuk memastikan pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan.
Dato Dr Richard turut mengingatkan semua pihak agar mematuhi prosedur pelaksanaan bagi memastikan projek berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan tanpa sebarang isu di kemudian hari.-EDISI UKAS