Pemimpin Bersama Komuniti Perkukuh Silaturahim, Galak Penduduk Tingkatkan Ekonomi Melalui Pertanian
PUSA: Program Pemimpin Bersama Komuniti di Kampung Semarang terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat, di samping menggalakkan penduduk meneroka potensi ekonomi setempat khususnya dalam sektor pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, kawasan Semarang mempunyai kelebihan tersendiri dari segi sumber semula jadi yang boleh dimanfaatkan bagi menjana pendapatan lebih mampan.
Menurut beliau, potensi industri berasaskan kelapa di kawasan tersebut wajar diperkembangkan kerana mampu menghasilkan pelbagai produk bernilai tambah yang berdaya saing di pasaran.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi platform untuk kita berkongsi perkembangan semasa serta mendengar sendiri keperluan penduduk,” katanya ketika berucap pada program berkenaan pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa pendedahan kepada kemahiran baharu amat penting dalam membantu komuniti luar bandar meningkatkan taraf hidup mereka.
Sepanjang program tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk demonstrasi penghasilan minyak kelapa dan pembuatan telur masin sebagai usaha memperkenalkan peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan golongan wanita dan belia agar lebih aktif menceburi bidang pertanian serta perusahaan berasaskan hasil tempatan bagi memperkukuh ekonomi isi rumah.
“Penduduk perlu memanfaatkan tanah yang ada serta mengusahakan produk tempatan secara lebih komersial supaya dapat menembusi pasaran yang lebih luas,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta koperasi kampung dalam merancang dan melaksanakan aktiviti ekonomi yang mampu memberi pulangan kepada komuniti.
Mengulas aspek pembangunan, beliau berkata projek infrastruktur seperti Jambatan Batang Lupar telah memberi impak positif kepada penduduk melalui peningkatan akses perhubungan, kemudahan logistik serta peluang ekonomi yang lebih luas.
Tambahnya, pembangunan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.-EDISI UKAS