Sa'ati Run 2026 Perkukuh Perpaduan, Galak Gaya Hidup Sihat
MERADONG: Satu mesyuarat penganjuran telah diadakan di Pusat Khidmat DUN Meradong pada Khamis bagi membincangkan mengenai Persiapan penganjuran Sa'ati Run 2026 dari aspek teknikal, keselamatan peserta, pengurusan laluan larian serta penglibatan masyarakat setempat.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang turut menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak dalam menjayakan acara berkenaan sebagai platform memperkukuh perpaduan masyarakat.
Menurut beliau, Sa'ati Run yang telah dianjurkan selama empat tahun berturut-turut kini menjadi antara acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh penduduk di Meradong.
“Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medium untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum melalui aktiviti yang positif,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai daripada pelbagai lapisan umur untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Sarawak menerusi penglibatan dalam aktiviti riadah yang bermanfaat.
Sa'ati Run 2026 akan menampilkan larian sejauh lima kilometer dengan enam kategori penyertaan melibatkan kategori lelaki dan perempuan terbuka, bawah 18 tahun serta bawah 12 tahun.
Semua peserta yang menamatkan larian akan menerima pingat dan sijil penyertaan, manakala hadiah wang tunai disediakan kepada 10 peserta terbaik bagi setiap kategori.
Program tersebut dijadualkan berlangsung pada 18 Julai 2026 di halaman Dewan Masyarakat Bintangor dan dijangka menjadi antara acara kemuncak Sambutan Hari Sarawak di daerah ini.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pengerusi Pengelola Sa'ati Run Hari Sarawak 2026, Ley Chee Hua, Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Cr Chieng Ming Kiong, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Meradong, Cr Dayang Rajemah Abang Adeng, Setiausaha SABERKAS Cawangan Meradong, Azmi Tambi, serta ahli-ahli Pergerakan Pemuda dan Wanita SUPP Cawangan Bintangor.-EDISI UKAS