Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 2026 Di Miri Angkat Tema ‘Ummah Maju Makmur’
KUCHING: Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M akan berlangsung di Miri pada 16 dan 17 Jun ini dengan mengetengahkan tema ‘Ummah Maju Makmur’, sebagai platform memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW serta menghayati nilai perubahan ke arah kehidupan yang lebih progresif dan sejahtera.
Program anjuran kerajaan negeri itu bakal menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan agama dari seluruh Sarawak termasuk pemimpin negeri, tokoh agama serta penerima Anugerah Maal Hijrah yang diraikan atas sumbangan mereka kepada pembangunan ummah dan masyarakat.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Sahibus Siyadah Ustaz Mu’al Suaud berkata, tema ‘Ummah Maju Makmur’ menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan agar masyarakat bukan sahaja menikmati kemajuan, malah memiliki ilmu, integriti dan adab dalam memanfaatkan kemajuan tersebut.
“Maju itu sebagaimana yang kita kecapi di Sarawak dengan pelbagai pembangunan dan teknologi.
“Tetapi dalam masa yang sama, kita mahu kemakmuran, iaitu masyarakat yang berilmu, beradab dan berintegriti serta dapat menggunakan teknologi dengan cara yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program temubual Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata sambutan berkenaan bukan sahaja selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur, malah berupaya memperkukuh pembangunan modal insan serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjuran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 2026 berkata program tersebut wajar disokong semua lapisan masyarakat kerana menjadi medium mengukuhkan persefahaman dan toleransi yang menjadi kekuatan Sarawak.
“Saya sebagai bukan dalam kalangan masyarakat Islam amat menyokong program-program seumpama ini.
“Sebab di Sarawak, kepelbagaian agama ini memberikan kita sikap bertoleransi. Kita boleh bercampur bersama-sama, memahami antara satu sama lain. Walaupun kita mempunyai perbezaan agama dan suku kaum, tetapi kita dapat hidup aman dan makmur,” ujarnya.
Pada sambutan kali ini, sebanyak 16 kategori Anugerah Maal Hijrah akan disampaikan kepada individu dan institusi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan dan pembangunan, perkhidmatan awam, sukarelawan, belia, pengurusan masjid dan surau, keluarga cemerlang serta pencapaian akademik.
Majlis Kesyukuran Maal Hijrah akan diadakan di Masjid At-Taqwa Miri pada 16 Jun, manakala Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Sarawak akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri pada 17 Jun.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dijangka hadir ke majlis tersebut bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang. - EDISI UKAS