Transformasi SOE Penting Capai Aspirasi Pembangunan Sarawak 2030
KUCHING: Transformasi syarikat milik Kerajaan Sarawak (SOE) menjadi elemen penting dalam memastikan Sarawak mencapai aspirasi pembangunan dan sasaran ekonomi yang ditetapkan menjelang 2030.
Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar berkata, badan berkanun dan SOE memainkan peranan besar dalam memacu pembangunan negeri melalui sektor infrastruktur, pelaburan, pengangkutan, transformasi digital dan pembangunan sosial.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak melalui Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh tadbir urus, prestasi dan kemampanan jangka panjang SOE.
“Ketika Sarawak melangkah ke arah merealisasikan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang tahun 2030, peranan badan berkanun dan SOE bukan sahaja penting, malah amat diperlukan.
“Entiti-entiti ini bukan sekadar pelaksana dasar kerajaan, sebaliknya berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan yang menggerakkan pembangunan negeri merangkumi pembangunan infrastruktur, pelaburan, pengangkutan, transformasi digital serta pembangunan sosial.
“Aspirasi menjelang tahun 2030 hanya dapat direalisasikan sekiranya institusi-institusi ini dan warga yang menerajuinya bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
“Bagi memastikan SOE terus relevan dan memberi impak yang signifikan, ia perlu terus berkembang dan melakukan transformasi secara berterusan serta tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa program ‘Sarawak SOEs Transformation Programme: A Pledge fo Good Governance, High Performance and Value Creation' di sini, pada Khamis.
Program berkenaan telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tambah beliau, hasil kajian yang dijalankan mendapati beberapa SOE berdepan cabaran seperti kebergantungan kepada geran kerajaan, pendapatan yang terhad, aset kurang produktif serta kekangan dalam membiayai perbelanjaan pembangunan.
Sehubungan itu, satu rangka kerja transformasi diperkenalkan dengan memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos, peningkatan hasil dan penambahbaikan model perniagaan bagi memperkukuh kemampanan kewangan serta prestasi organisasi.
Beliau turut menegaskan bahawa tadbir urus yang kukuh, pengurusan risiko yang berkesan, penggunaan teknologi digital dan kepimpinan yang berwibawa merupakan antara elemen penting dalam memastikan kejayaan transformasi tersebut.-EDISI UKAS