ADUN Simanggang Serah Tapak Projek Naik Taraf Sistem Saliran Rumah James Tekat Ranggie
SIMANGGANG: Projek menaik taraf sistem saliran di Rumah James Tekat Ranggie, diyakini memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya dalam mengurangkan risiko banjir.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek melibatkan kos siling sebanyak RM300,000 ini dijangka siap sepenuhnya pada 18 Julai 2025.
Menurutnya, kontraktor yang dilantik melalui proses cabutan undi telah diwajibkan untuk melaksanakan projek tersebut mengikut tempoh masa yang ditetapkan, iaitu selama enam bulan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyerahan tapak projek berkenaan kepada Pemilik Syarikat Munggu Salau Enterprise, Albert Kambun Bandang, di Rumah James Tekat Ranggie, Kampung Nanga Skrang, di sini pada Sabtu.
Simbolik penyerahan itu turut disaksikan oleh Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Mazolizam Mohamad bersama Tuai Rumah James Tekat Ranggie.
Hadir sama ialah Jurutera DID, Azizi Dahlan, Ahmad Sharil Suhaili dan Janie Munan, Penolong Jurutera DID, Ketua Masyarakat Iban Daerah Sri Aman Pemanca Denneil Saweng serta wakil Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N.32 Simanggang, Gerunsen Nyelang.-EDISI UKAS