Liputan Internet 100 Peratus di Meluan Perkukuh Inklusiviti Digital
JULAU: Liputan internet di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan kini mencapai 100 peratus, sekali gus memperkukuh akses digital dan merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, kemudahan tersebut membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan termasuk permohonan dan rayuan bantuan secara dalam talian dengan lebih mudah dan inklusif.
“Rakyat boleh mengemukakan permohonan atau rayuan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal supaya tidak ada golongan tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program E-Invois dan Kaunter Luar Bantuan Tunai Kerajaan di Dewan Masyarakat Julau pada Jumaat.
Seramai 186 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dari seluruh kawasan DUN Meluan turut hadir bagi memperkukuh penyampaian maklumat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, peningkatan infrastruktur telekomunikasi di kawasan pedalaman membantu memperluaskan capaian maklumat kerajaan kepada rakyat secara lebih menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan atas usaha berterusan menaik taraf kemudahan digital demi kesejahteraan rakyat luar bandar.-EDISI UKAS