MERADONG: Pendidikan terus menjadi pemangkin utama dalam mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar serta membuka peluang mobiliti sosial kepada generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pendidikan merupakan instrumen paling berkesan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, sekali gus membentuk masa depan lebih baik.
Menurut beliau, kecemerlangan pendidikan memerlukan transformasi minda melibatkan pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat secara menyeluruh.
“Kerjasama erat semua pihak amat penting bagi memastikan budaya kecemerlangan dapat diterapkan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Permuafakatan Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor pada Jumaat.
Tambahnya, kekangan seperti kemiskinan, kekurangan kemudahan dan cabaran geografi tidak seharusnya menjadi penghalang, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin kejayaan.
Katanya, ramai anak luar bandar telah membuktikan bahawa dengan disiplin, semangat juang dan keazaman tinggi, mereka mampu mencapai kecemerlangan setanding pelajar bandar.
Sebagai sokongan kepada usaha pendidikan, beliau turut mengumumkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada PIBG SMK Bandar Bintangor bagi melaksanakan aktiviti sepanjang 2026.-EDISI UKAS