Sarawak Perkasa Penyampaian Bantuan, Elak Keciciran Rakyat
JULAU: Kerajaan Sarawak mempergiat pendekatan turun padang dan pemudah cara bagi memastikan penyampaian bantuan lebih cekap, telus dan tidak meminggirkan golongan layak, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, langkah memperluas saluran permohonan serta penyediaan kaunter luar membolehkan rakyat berurusan secara terus, sekali gus mengurangkan risiko keciciran di kalangan penerima.
Menurut beliau, inisiatif tersebut melibatkan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang kini dipermudah dari segi akses dan proses permohonan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program e-Invois dan Kaunter Luar Bantuan Tunai Kerajaan di Dewan Masyarakat Julau, pada Jumaat.
Tambah beliau, penglibatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang turun padang memberi penerangan secara langsung turut meningkatkan kefahaman rakyat mengenai kelayakan, tatacara permohonan serta proses rayuan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai penghubung utama dalam memastikan maklumat sampai secara tepat dan menyeluruh di peringkat akar umbi.
Katanya, pendekatan bersepadu antara agensi dan komuniti itu penting bagi memastikan setiap bantuan dapat disampaikan secara lebih efektif kepada golongan sasar.
Pada masa sama, penyediaan kaunter khas bagi semakan status dan rayuan memudahkan rakyat mendapatkan penjelasan secara terus, sekali gus mempercepat proses penyaluran bantuan.
Jelasnya, usaha berterusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara melalui sistem penyampaian yang lebih responsif dan inklusif.-EDISI UKAS