Tanjung Bundong Berpotensi Jadi Hab ‘Food Basket’, Infrastruktur Diperkasa
TANJUNG BUNDONG: Kawasan Tanjung Bundong termasuk Sian dan Nanga Bangkit dikenal pasti berpotensi besar sebagai hab pengeluaran makanan utama atau ‘food basket’, sekali gus mendorong pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur bagi menyokong pembangunan pertanian moden.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, pembangunan jaringan jalan raya dan kemudahan asas menjadi keutamaan bagi memastikan potensi kawasan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Walaupun jumlah penduduk tidak ramai, terdapat sebab utama kenapa banyak projek dilaksanakan di sini.
“Kawasan ini telah dikenal pasti sebagai kawasan pertanian atau ‘food basket’ dan sebahagiannya telah diukur untuk pembangunan pertanian moden,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Ramah Tamah Aidilfitri DUN Semop di Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Bundong pada Jumaat, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab.
Menurutnya, beberapa projek berskala kecil telah siap dilaksanakan termasuk pembinaan jambatan besi bernilai RM400,000 serta kerja naik taraf jalan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Tambah beliau, projek utama yang sedang dilaksanakan merangkumi pembinaan jalan baharu bernilai kira-kira RM80 juta serta projek jalan ke Nanga Bangkit dengan anggaran kos RM46 juta.
Selain itu, cadangan pembinaan jambatan turut dipertimbangkan bagi menghubungkan kawasan di seberang sungai, tertakluk kepada kesesuaian lokasi memandangkan laluan tersebut merupakan laluan utama kapal.-EDISI UKAS