Sinergi Kerajaan, Komuniti Penting Dalam Penyampaian Perkhidmatan Penjawat Awam
KOTA SAMARAHAN: Sinergi antara kerajaan dan komuniti amat penting dalam usaha memantapkan penyampaian perkhidmatan penjawat awam negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penglibatan aktif pelbagai agensi dengan rakyat mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam memupuk keharmonian serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Menurut beliau, platform berasaskan komuniti seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan melalui interaksi secara langsung dan inklusif.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kota Samarahan yang menarik lebih 700 pengunjung sekitar kawasan ini, pada Jumaat.
Dalam majlis sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menyifatkan program tersebut sebagai medium efektif dalam merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang Dato Idris Buang, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Abang Ismawi Abang Ali serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS