SARIKEI: Masyarakat di Daerah Pakan diseru agar terus mengekalkan perpaduan yang ada agar pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata masyarakat kini perlu bergerak pantas seiring aspirasi kerajaan negeri jika tidak mahu ketinggalan dalam arus pemodenan.
Ini juga menuntut kerjasama semua agensi kerajaan di Pakan dalam menggerakkan perancangan yang telah dirancang, ujarnya.
“Premier Sarawak mahu kita bersatu, mahu melihat kita bergabung tenaga, di mana kita boleh menyimpan sumber, tetapi objektif boleh dicapai.
“Kita perlu bergerak dengan pantas sebab ada banyak perkara dilaksanakan. Jadi Pakan tidak ketinggalan dari arus pembangunan. Jangan pedulikan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
“Banyak yang perlu kita manfaatkan, kerajaan berikan kita pelbagai inisiatif dan bantuan, bukan hanya program, tetapi juga bantuan dari segi teknikal dan sumber latihan.”
Katanya berucap pada Program UKAS Bersama Komuniti @Pakan sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Masyarakat Pakan pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan turut memuji kerjasama UKAS dan Pejabat Daerah yang telah membentuk kolaborasi penting dalam melaksanakan sesuatu program.
Jelasnya, rakyat di Pakan mampu bersaing dan mampu bergerak sama pantas dalam menerima serta menikmati pembangunan yang kerajaan Sarawak laksanakan kerana kefahaman serta perpaduan antara kaum yang cukup kukuh.
Tan Sri William turut berterima kasih kepada UKAS kerana memilih Pakan bagi mengadakan Program UKAS Bersama Komuniti @Pakan 2025 sempena Sambutan Tahun Baru Cina yang juga program yang pertama dianjurkan UKAS pada tahun 2025 ini.
Terdahulu, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan dalam ucapan aluannya berkata Daerah Pakan dipilih sebagai lokasi pertama Program UKAS Bersama Komuniti.
Lebih 150 komuniti Cina di Pakan dengan pelbagai peringkat umur bersama-sama kaum lain hadir menjayakan program tersebut.
Sebelum itu satu pertandingan karaoke turut diadakan bagi memeriahkan lagi program yang telah disertai seramai 18 orang peserta di Pakan.
Hadir sama Wakil Residen Bahagian Sarikei Azryn Naim, Wakil Pegawai Daerah Pakan Janet anak Boondar, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fung Kok Shiun @ Brian Fung, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat serta masyarakat Cina di Pekan Pakan. - EDISI UKAS