Setiausaha Kerajaan Sarawak tinjau kesiapsiagaan raptai penuh SKS di Miri
MIRI: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki meninjau raptai penuh Program Sarawakku Sayang (SKS) di Stadium Miri pada Jumaat bagi memastikan persiapan akhir berjalan lancar menjelang perasmiannya esok.
Beliau tiba di venue utama sekitar jam 4.50 petang diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.
Dalam lawatan tersebut, beliau meneliti pelbagai aspek persiapan termasuk susun atur pentas utama, penyelarasan atur cara serta tahap kesiapsiagaan penganjur bagi menjamin kelancaran program.
Acara kemuncak SKS dijadual dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada jam 10.30 pagi di khemah utama Stadium Miri.
Program yang berlangsung sepanjang hari itu akan bermula seawal jam 8 pagi dengan perasmian Miri Kitchen serta jualan makanan dan minuman kepada pengunjung.
Orang ramai juga berpeluang mengunjungi pameran utama serta kaunter perkhidmatan agensi kerajaan yang disediakan di Sarawak Pavilion dan zon perkhidmatan bermula jam 9 pagi.
Program SKS merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam mendekatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selain mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.-EDISI UKAS