Projek CCGT Miri 500MW Capai 45 Peratus Siap, Perkukuh Bekalan Tenaga Sarawak
MIRI: Projek pembinaan Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Gas (CCGT) Miri berkapasiti 500 megawatt (MW) kini mencapai tahap 45 peratus siap setakat akhir Mac 2026 dan berjalan lancar mengikut jadual, dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang hujung tahun 2027.
Projek bernilai kira-kira RM2 bilion milik Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) itu merupakan komponen penting dalam pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap (SGR), khususnya dalam memperkukuh sistem bekalan tenaga di hab utara negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek tersebut memainkan peranan strategik dalam meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan serta kelestarian sistem tenaga negeri.
“Projek CCGT Miri adalah langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur tenaga Sarawak. Ia bukan sahaja menambah kapasiti penjanaan elektrik, malah menyokong sistem bekalan yang lebih stabil, efisien dan rendah pelepasan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Jumaat selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan bersama Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki serta Setiausaha Tetap kementerian, Datu Jafri Lias.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Dato Janin Girie, Naib Presiden Projek Modal PETROS, Kidd Enau, Pengarah Gas kementerian, Kasvena Kassim serta pegawai kanan berkaitan.
Menurut Dato Sri Julaihi, loji yang menggunakan teknologi kitaran gabungan itu akan membantu menyeimbangkan bekalan tenaga sedia ada, memenuhi peningkatan permintaan industri serta menyokong peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Projek tersebut telah dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 30 November 2024, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur tenaga berasaskan gas sebagai sumber strategik.
Dalam pada itu, PETROS turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan tempatan melalui pelaksanaan program latihan berstruktur dan pembangunan tenaga kerja.
Daripada keseluruhan tenaga kerja kontraktor projek, kira-kira 36 peratus atau lebih 250 orang adalah rakyat Sarawak merangkumi pelbagai kategori termasuk profesional, mahir, separa mahir dan am.
Selain itu, lebih 30 kakitangan PETROS yang terlibat dalam projek ini juga terdiri daripada anak tempatan.
Sebagai usaha pembangunan bakat, lebih 20 jurutera muda dan 88 juruteknik telah terlibat secara langsung dalam program latihan di tempat kerja (On-the-Job Training), selain kerjasama dengan pihak luar bagi meningkatkan kompetensi teknikal serta kesiapsiagaan industri.
Dato Sri Julaihi turut merakamkan penghargaan terhadap usaha PETROS dalam membangunkan keupayaan tempatan yang disifatkan penting bagi memastikan kelestarian infrastruktur tenaga negeri, di samping membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Sepanjang lawatan, delegasi turut diberi taklimat mengenai kemajuan keseluruhan projek, pencapaian utama serta aktiviti semasa sebelum meninjau beberapa kawasan kerja.
Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi semakan status projek dan keutamaan seterusnya, dengan MUT menegaskan kepentingan penyelarasan berterusan antara semua pihak berkepentingan bagi memastikan projek strategik itu dapat disiapkan mengikut jadual serta mematuhi aspek keselamatan demi menjamin keselamatan tenaga dan pembangunan jangka panjang negeri.- EDISI UKAS