Ekonomi hijau, kitaran perkasa transformasi sektor pertanian Sarawak
LIMBANG: Pendekatan ekonomi hijau dan ekonomi kitaran kini menjadi teras utama dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian Sarawak ke arah lebih mampan, berdaya saing dan bernilai tinggi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan negeri komited mempergiat pelaksanaan inisiatif berasaskan kelestarian termasuk pendekatan ‘waste-to-wealth’ bagi memaksimumkan penggunaan sumber serta mengurangkan pembaziran.
“Sejajar dengan agenda ekonomi hijau dan ekonomi kitaran, kementerian akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif ‘waste-to-wealth’ dengan memastikan biojisim dan produk sampingan pertanian dapat dimanfaatkan sebagai sumber bernilai tinggi,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri M-FICORD, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail semasa Majlis Perasmian Limbang Agrofest 2026 pada Jumaat.
Menurutnya, antara pendekatan yang sedang diteroka termasuk penghasilan makanan ternakan berasaskan sumber kelapa sawit serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam operasi pemprosesan, sekali gus meningkatkan kecekapan dan nilai tambah dalam rantaian industri pertanian.
Dalam perkembangan sama, sektor pertanian Sarawak terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila menyumbang RM15.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri pada 2024 serta menyediakan lebih 247,000 peluang pekerjaan.
Kelapa sawit kekal sebagai penyumbang terbesar sektor tersebut dan merupakan komoditi eksport kedua utama negeri dengan nilai RM16.3 bilion, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai antara tonggak ekonomi Sarawak.
Kerajaan Sarawak katanya, akan terus memacu transformasi sektor pertanian melalui penerapan teknologi moden, pengukuhan keselamatan makanan serta peningkatan pendapatan komuniti tani.
Beliau turut menegaskan usaha berterusan itu diyakini mampu merealisasikan sasaran menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud, Pengurus Besar SALCRA Datu Joseph Blandoi, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Radziah Jack, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise serta Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Amirul Fikri Jemali.- EDISI UKAS