Aidilfitri Perkukuh Perpaduan, Ruang Interaksi Warga Penjawat Awam
SERIAN: Meskipun Syawal telah berlalu, namun kemeriahan Hari Raya terus dirasai menerusi penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bahagian Serian Tahun 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran penjawat awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata komitmen penganjur yang berjaya menghimpunkan penyertaan melibatkan 13 agensi di bawah Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak termasuk pejabat daerah bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah mewujudkan ruang interaksi santai dalam kalangan warga kerja, khususnya di tengah kesibukan tugasan harian.
Beliau menegaskan, sambutan Aidilfitri bukan sekadar acara sosial, sebaliknya platform menzahirkan kesyukuran atas nikmat kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta keamanan yang dikecapi di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu terhadap usaha pembangunan kerajaan demi memastikan kesinambungan kemajuan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan.
Mengulas mengenai keunikan masyarakat majmuk di Sarawak, John menekankan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya merupakan kekuatan utama dalam membentuk keharmonian yang kukuh.
“Nilai perpaduan yang kita nikmati hari ini perlu terus dipupuk dan dipertahankan agar kekal utuh demi kesejahteraan generasi akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, suasana harmoni yang berterusan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Turut hadir Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari serta ketua-ketua jabatan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan. -EDISI UKAS