Regatta Betong 2026 Perkukuh Warisan dan Pacu Ekonomi Setempat
BETONG: Penganjuran Regatta Betong 2026 bukan sahaja mengangkat warisan budaya sungai yang menjadi identiti masyarakat setempat, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan perpaduan komuniti di kawasan ini.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu, regatta merupakan antara sukan air tertua di Sarawak yang bermula sejak tahun 1873, diperkenalkan oleh Rajah Brooke bagi mengeratkan hubungan masyarakat ketika itu.
“Regatta Betong yang telah lama terhenti selama 16 tahun kini kembali lagi supaya masyarakat Betong dapat berentap antara satu sama lain di Sungai Layar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Regatta Betong Edisi 2026 di Astaka Utama Regatta, Waterfront Betong, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Gerald menyeru masyarakat setempat agar bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan fasiliti di Tebingan Sungai Betong bagi mengelakkan pencemaran serta penularan penyakit.
Beliau turut menggalakkan para usahawan tempatan supaya merebut peluang yang ada untuk memasarkan produk masing-masing, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Tambahnya, penganjuran acara seperti ini mampu menarik kehadiran pelancong sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan, perniagaan kecil dan industri kreatif di kawasan tersebut.
Sebanyak 30 pasukan menyertai edisi kali ini melibatkan kategori saringan dan akhir termasuk KMKK, jabatan serta wanita, sekali gus membuka ruang kepada belia tempatan mengasah bakat dan memupuk semangat kerjasama.
Selain acara utama lumba perahu, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan sepanjang 16 hingga 26 April, antaranya gerai jualan produk tempatan, jualan MADANI, pameran agensi kerajaan dan swasta, sukan rakyat, pertandingan memancing, mewarna, memasak, seni kraf tangan, gubahan bunga, aerobithon serta pesta ria.
Turut hadir adalah Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, ADUN Engkelili Dr Johnical Rayong Ngipa, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Laga Kueh serta wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industiri Kreatif dan Seni Persembahan Nazari Bujang.-EDISI UKAS