Jalan Suri ke Kampung Tuie Siap, Penduduk Kini Nikmati Perjalanan Lebih Lancar
DEBAK: Projek jalan baharu sepanjang 9 kilometer yang menghubungkan Kampung Tuie ke Suri kini siap sepenuhnya, membawa manfaat besar kepada penduduk setempat.
Jalan yang dibina dengan kos RM35 juta ini dijangka meningkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar serta mempercepatkan perjalanan penduduk di sekitar Kampung Medang, Kampung Supa, Kampung Serabang, dan Kampung Tuie ke daerah kecil Debak.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, projek ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk tetapi juga membantu mengatasi masalah akses yang selama ini menjadi cabaran utama di kawasan tersebut.
Bagi memastikan kesalinghubungan yang lebih baik, peruntukan tambahan telah diumumkan untuk kerja-kerja baik pulih jalan sedia ada di Kampung Tuie.
Langkah ini bertujuan menghubungkan jalan baharu yang siap dibina dengan jalan utama sedia ada, sekaligus meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Datuk Razi turut menekankan bahawa kemudahan jalan yang lebih baik akan merancakkan ekonomi setempat, khususnya dalam memudahkan akses ke pasaran bagi produk tempatan seperti hasil pertanian, makanan, dan barangan keperluan harian.
“Dengan jalan yang lebih baik dan lebih cepat, produk-produk tempatan akan lebih mudah dijual ke kawasan yang lebih luas.
“Ini sekaligus memberi peluang kepada penduduk untuk meningkatkan pendapatan dan memperkasa ekonomi mereka,” katanya selepas meninjau keadaan jalan tersebut pada Jumaat.
Projek ini diharap dapat membawa perubahan positif kepada kehidupan penduduk, meningkatkan keselesaan perjalanan, serta memperkukuh pembangunan luar bandar di Sarawak. -EDISI UKAS