Naik Taraf Gelanggang Futsal Pasir Pandak Hampir Siap
KUCHING: Projek menaik taraf gelanggang futsal di Kampung Pasir Pandak yang menelan peruntukan RM100,000 kini berada pada peringkat akhir pelaksanaan, meskipun menghadapi sedikit kelewatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, isu itu berlaku berikutan keperluan melakukan kerja pembetulan terhadap struktur pembinaan awal yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan.
“Pihak kontraktor memaklumkan bahawa mereka memerlukan tempoh kira-kira sebulan lagi untuk menyiapkan sepenuhnya projek ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan bukan sahaja siap mengikut jadual, malah memenuhi piawaian keselamatan dan ketahanan untuk kegunaan jangka panjang.
Projek naik taraf itu melibatkan beberapa komponen utama termasuk pembinaan tembok di sekeliling gelanggang, penggantian pagar kepada jenis ‘versatile fencing’ serta pembinaan pintu baharu bagi meningkatkan aspek keselamatan dan fungsi fasiliti.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menambah, projek tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan dalam mempertingkatkan kemudahan sukan di kawasan kampung, khususnya bagi memenuhi keperluan golongan belia.
“Apabila siap nanti, gelanggang ini akan memberi manfaat kepada komuniti setempat untuk menjalankan aktiviti riadah serta menggalakkan gaya hidup sihat,” ujarnya. -EDISI UKAS