Jelajah Platinum IKMa Perkasa Peranan Koperasi, Dekati Komuniti Akar Umbi
BINTULU: Program Jom@Coop Turun Padang Memasyarakatkan Koperasi: Jelajah Platinum Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sempena ulang tahun ke-70 penubuhannya dilihat sebagai platform strategik dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan koperasi serta memperkasa gerakan itu sebagai pemacu ekonomi inklusif negara.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, pendekatan turun padang yang dilaksanakan menerusi program tersebut membuktikan komitmen IKMa dalam mendekati komuniti secara langsung selain memperluas kesedaran mengenai potensi koperasi.
Menurut beliau, kekuatan sesebuah koperasi bergantung kepada tahap kefahaman dan kepercayaan masyarakat terhadap fungsi serta peranannya.
“Apabila masyarakat memahami koperasi, mereka bukan sahaja akan menyokong, malah turut menyumbang kepada perkembangan gerakan ini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program berkenaan di Hotel Kemena Plaza, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan koperasi tidak hanya bergantung kepada kekuatan kewangan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh tahap ilmu, integriti dan kualiti kepimpinan dalam pengurusan organisasi.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua koperasi memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui latihan dan pendidikan berterusan.
“Masih terdapat koperasi yang melihat latihan sebagai kos, sedangkan ia merupakan pelaburan strategik yang mampu meningkatkan prestasi dan daya saing organisasi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengakui wujud cabaran dalam aspek tadbir urus koperasi termasuk kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan, kelewatan penyediaan penyata kewangan serta ketidakpatuhan kepada peraturan yang ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan gerakan koperasi kini menjadi komponen penting dalam ekonomi negara dengan lebih 16,000 koperasi serta keanggotaan melebihi 7.4 juta orang.
“Ini membuktikan koperasi merupakan satu gerakan masyarakat yang inklusif dan berpotensi besar untuk terus berkembang,” katanya.
Menyentuh keperluan masa depan, beliau menekankan kepentingan transformasi koperasi melalui pemanfaatan teknologi digital seperti e-dagang, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memperluas pasaran.
Selain itu, ujarnya, koperasi juga digalakkan meneroka sektor baharu termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau dan ekonomi gig bagi memastikan daya saing yang mampan.
Dalam konteks Sarawak, beliau melihat koperasi mempunyai potensi besar dalam memperkasa ekonomi komuniti khususnya menerusi sektor pelancongan, pertanian moden dan perusahaan kecil, selari dengan agenda pembangunan digital dan ekonomi mampan negeri.
Hadir sama Pengarah Cawangan IKMa Zon Sarawak (Miri) Syarifah Rohaya Wan Idris serta Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.- EDISI UKAS