Projek Perparitan Konkrit Bernilai RM400,000 Bantu Tangani Banjir Kampung Rampangi
KUCHING: Pelaksanaan projek perparitan konkrit bernilai RM400,000 di Kampung Rampangi Fasa 1 dan Fasa 2 menjadi langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu banjir, sekali gus memperkukuh sistem infrastruktur asas luar bandar demi kesejahteraan penduduk.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek di bawah inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bagi menggantikan sistem perparitan lama yang tidak sistematik.
Menurut beliau, kawasan Kampung Rampangi yang telah didiami lebih dua dekad sebelum ini berdepan masalah banjir kilat akibat ketiadaan sistem saliran yang efisien.
“Melalui projek ini, parit tanah sedia ada digantikan dengan sistem perparitan konkrit yang lebih tersusun dan berkesan, sekali gus mengurangkan risiko banjir,” katanya semasa lawatan kerja ke kawasan tersebut, pada Khamis.
Projek tersebut melibatkan peruntukan RM200,000 bagi setiap fasa, merangkumi pembinaan parit konkrit yang lebih kukuh, sistematik dan tahan lama bagi menampung aliran air terutama ketika hujan lebat.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja menyelesaikan isu banjir, malah meningkatkan tahap keselesaan serta keselamatan penduduk setempat.
“Usaha ini memberi impak langsung kepada kualiti hidup penduduk dan menyokong pembangunan kawasan secara menyeluruh,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS