Pusat Ekonomi Wanita Samariang Perkasa Usahawan Wanita Jana Pendapatan Keluarga
KUCHING: Projek pembinaan Pusat Ekonomi Wanita di Bandar Baru Samariang yang kini mencapai tahap 95 peratus siap dijangka menjadi pemangkin baharu dalam memperkasa golongan wanita menjana pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan khusus bagi menyokong pembangunan ekonomi wanita di peringkat komuniti.
Menurut beliau, pusat berkenaan akan menjadi hab aktiviti keusahawanan dan kemahiran wanita yang melibatkan pelbagai bidang seperti pembuatan kuih, masakan, jahitan serta aktiviti ekonomi lain dan berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Projek ini hampir siap sepenuhnya dan hanya menunggu penyambungan bekalan utiliti seperti elektrik dan air sebelum dapat digunakan sepenuhnya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut, pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa model pembangunan pusat ekonomi wanita seperti ini telah dilaksanakan di beberapa kawasan lain termasuk Kampung Pasir Pandak serta kampung-kampung sekitar yang dikenal pasti sesuai, selaras dengan pendekatan inklusif kerajaan dalam memperkasa komuniti.
“Inisiatif ini bertujuan menyediakan ruang kepada golongan wanita untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti ekonomi secara lebih tersusun serta berdaya saing,” jelasnya.
Tambah beliau, beberapa cadangan penambahbaikan akan dipertimbangkan pada fasa seterusnya bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan secara optimum oleh komuniti setempat. -EDISI UKAS