ADUN Simunjan Tinjau Lokasi Tanah Runtuh Di Kampung Sual
SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris turun padang meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Sual susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Setibanya di lokasi kejadian pada Sabtu, beliau mendapati kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan selepas jalan utama ke Kampung Sual tertimbus sepenuhnya, menyebabkan ia tidak dapat dilalui oleh penduduk.
Beliau turut meluangkan masa bertemu penduduk yang terkesan, termasuk mereka yang kehilangan hasil tanaman apabila kebun yang diusahakan musnah dalam sekelip mata akibat runtuhan tersebut.
Untuk rekod, kejadian tanah runtuh berlaku pada hari Khamis lepas, namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Awla, pihak berkuasa kini giat menjalankan pemantauan bagi memastikan tiada pergerakan tanah susulan yang boleh membahayakan penduduk berhampiran.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi supaya berwaspada dan segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.-EDISI UKAS