Warisan Tun Datuk Abang Openg Diangkat Melalui Seni, Telusuri Kisah Perjuangan Tokoh Sarawak
KUCHING: Warisan dan perjuangan Allahyarham Tun Datuk Abang Openg terus dipelihara dan diangkat melalui seni persembahan menerusi pementasan teater ‘Sebuah Montaj Sejarah: Teater Tun Openg – Awal Sebuah Legasi’ yang mendapat sokongan kepimpinan tertinggi negeri di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Sabtu.
Teater tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri pementasan tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan anakanda Dayang Nurjihan turut hadir sebagai tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan sejarah dan warisan negeri tersebut.
Pementasan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) itu mengisahkan perjalanan hidup serta legasi kepimpinan Allahyarham Tun Openg, tokoh yang memainkan peranan penting dalam sejarah pembangunan Sarawak.
Melalui pendekatan naratif dan dramatik, teater berkenaan menelusuri cabaran, perjuangan serta prinsip hidup tokoh tersebut dalam era peralihan kuasa, pendudukan Jepun dan pergolakan politik negeri.
Pengerusi PASBK, Abdul Rahman Zainuddin berkata pementasan tersebut merupakan satu amanah besar kepada komuniti seni untuk menyampaikan kisah dan nilai perjuangan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh tenaga produksi, termasuk pengarah, penulis, pelakon, pemuzik dan kru teknikal yang menjayakan pementasan berkenaan dengan penuh dedikasi.
Teater tersebut dihasilkan berdasarkan naskhah buku karya Dato Dr Jeniri Amir, dengan idea asal oleh Dahiri Saini serta arahan dan skrip olahan oleh Abdillah Untong.
Persembahan turut diserikan oleh Orkestra dan Kombo PASBK yang diketuai Narawi Rashidi sebagai konduktor.
Hadir sama, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Firdaus Materang
Juruphoto: Hazrin Sunaini