Pesta Babulang Pacu Ekonomi Luar Bandar, Perkukuh Pelancongan Utara Sarawak
LIMBANG: Pesta Babulang dan Lumba Kerbau bukan sahaja menjadi platform memelihara warisan masyarakat Bisaya, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar dan sektor pelancongan yang mampu menjana manfaat kepada komuniti setempat serta Sarawak secara keseluruhannya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata penganjuran acara kebudayaan berimpak tinggi seperti Pesta Babulang berpotensi merangsang aktiviti ekonomi tempatan melalui peningkatan kehadiran pelancong, sekali gus membuka peluang kepada usahawan dan penggiat industri pelancongan untuk menjana pendapatan.
Menurut beliau, limpahan ekonomi daripada penganjuran pesta tersebut turut dinikmati pelbagai sektor termasuk pengusaha hotel dan inap desa, peniaga kecil, pengusaha pengangkutan, penggiat kraftangan serta usahawan makanan tradisional.
“Apabila pesta seperti ini berjaya menarik ribuan pengunjung, limpahan ekonominya turut dirasai oleh hotel, inap desa, peniaga kecil, pengusaha pengangkutan dan usahawan tempatan. Justeru, kerajaan akan terus menyokong penganjuran acara kebudayaan seperti ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2026 Edisi Ke-21 di Limbang pada Sabtu.
Premier Sarawak berkata usaha memperkukuh penganjuran acara kebudayaan dan warisan selari dengan strategi pembangunan Sarawak yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, kerajaan terus komited memperkasakan pembangunan wilayah menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta inisiatif pembangunan di bawah Northern Region Development Agency (NRDA).
Dalam pada itu, beliau menegaskan Pesta Babulang merupakan warisan budaya masyarakat Bisaya yang mempunyai nilai sejarah dan identiti tersendiri serta perlu terus dipelihara sebagai khazanah kebudayaan Sarawak.
“Pesta Babulang bukan sekadar acara hiburan atau pertandingan semata-mata, tetapi merupakan lambang identiti, warisan dan jati diri masyarakat Bisaya yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Menurut beliau, elemen budaya seperti lumba kerbau, Agak Babulang, permainan tradisional, makanan warisan dan adat resam masyarakat Bisaya merupakan aset pelancongan unik yang mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya.
Beliau turut menggesa golongan belia khususnya masyarakat Bisaya agar merebut peluang dalam bidang keusahawanan, teknologi, pertanian moden dan industri kreatif bagi memanfaatkan peluang ekonomi yang diwujudkan menerusi agenda pembangunan negeri.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau merangkap Penaung Persatuan Bisaya Sarawak Dato Paulus Palu Gumbang; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak merangkap Penasihat Persatuan Bisaya Sarawak Datu Antonio Kahti Galis serta Presiden Persatuan Bisaya Sarawak, Datu Joseph Blandoi. -EDISI UKAS