Kes Penipuan Dalam Talian Meningkat, Masyarakat Perlu Lebih Berwaspada
MIRI: Masyarakat perlu meningkatkan tahap kewaspadaan terhadap ancaman penipuan dalam talian susulan peningkatan kes jenayah siber yang menyebabkan ramai mangsa mengalami kerugian kewangan akibat diperdaya sindiket scam yang menggunakan pelbagai taktik penyamaran.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata perkembangan teknologi telah mengubah landskap jenayah semasa dengan penipuan dalam talian kini menjadi antara ancaman utama yang dihadapi masyarakat.
Menurut beliau, sindiket penipuan menggunakan pelbagai modus operandi termasuk menyamar sebagai pegawai kerajaan, pegawai bank, anggota polis dan wakil syarikat bagi memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang simpanan serta maklumat peribadi.
“Ramai mangsa kehilangan wang simpanan akibat diperdaya oleh sindiket penipuan. Penjenayah hari ini menggunakan pelbagai taktik dan menyamar sebagai pegawai kerajaan, pegawai bank, anggota polis serta wakil syarikat bagi memperdayakan mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sembang Santai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Lutong dan Kelab Wanita Lutong Miri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Miri di Dewan Serbaguna Kampung Pengkalan Lutong pada Sabtu.
Program bertemakan Komersial, Jenayah, Pencegahan Jenayah, Narkotik dan Perjudian serta Trafik itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu keselamatan semasa di samping memperkukuh kerjasama antara komuniti dan pihak berkuasa dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni.
Sehubungan itu, Dato Sri Lee mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai panggilan telefon, mesej atau pautan yang diterima daripada pihak tidak dikenali.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak berkongsi maklumat perbankan, kata laluan atau kod pengesahan transaksi (OTP) dengan mana-mana pihak bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Menurut beliau, golongan warga emas dan pesara merupakan antara kumpulan yang paling berisiko menjadi sasaran sindiket scam kerana kurang terdedah kepada perkembangan teknologi dan aspek keselamatan digital.
Justeru, beliau mencadangkan agar lebih banyak program kesedaran dianjurkan khusus untuk golongan tersebut bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai ancaman jenayah siber serta langkah perlindungan yang perlu diambil.
Dalam pada itu, beliau juga berkata penyalahgunaan dadah dan perjudian haram turut kekal sebagai cabaran besar yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat serta institusi kekeluargaan.
“Dadah boleh memusnahkan masa depan generasi muda, manakala perjudian haram yang kini mudah diakses melalui platform dalam talian sering menyebabkan individu terjerumus ke dalam masalah kewangan, hutang dan tekanan hidup yang berpanjangan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa usaha membanteras jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan perjudian haram memerlukan kerjasama berterusan antara masyarakat dan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian komuniti terus terpelihara. -EDISI UKAS