Randau Komuniti UKAS Platform Penting Sampaikan Maklumat Kerajaan Kepada Rakyat
BAU: Program Randau Komuniti 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus berperanan sebagai platform penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan pembangunan Kerajaan Sarawak kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, program tersebut bukan sekadar sesi pertemuan bersama rakyat, malah menjadi medium berkesan untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat.
Menurut beliau, menerusi program seperti Randau Komuniti, penduduk berpeluang mendapatkan maklumat yang tepat mengenai pelbagai bantuan, inisiatif dan program pembangunan yang disediakan kerajaan.
"Pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak, termasuk penggunaan platform digital Sarawak Pay (kini SPay Global), serta pelbagai bantuan pendidikan kepada anak-anak Sarawak.
"Terdapat juga skim bantuan pendidikan seperti Free Tertiary Education Scheme (FTES) dan pelbagai insentif yang disediakan bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Randau Komuniti 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Sebobok, di sini, pada Sabtu.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas termasuk bekalan air bersih, kemudahan awam serta capaian telekomunikasi demi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar memanfaatkan kemajuan teknologi secara berhemah dan sentiasa berwaspada terhadap ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Program Randau Komuniti 2026 UKAS turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan yang menyediakan pameran, perkongsian maklumat serta perkhidmatan kepada penduduk setempat. Program ini menjadi medan interaksi yang berkesan antara kerajaan dan rakyat dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat serta mempereratkan hubungan komuniti.
Program berkenaan juga berlangsung dalam suasana sambutan Hari Gawai yang meriah, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi. -EDISI UKAS