Gunakan Saluran KMKK Untuk Penyampaian Maklumat Bencana
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, menekankan kepentingan menggunakan saluran rasmi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam menyampaikan maklumat berkaitan bencana kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Menurutnya, langkah ini penting bagi mengelakkan percanggahan maklumat, terutama dalam situasi kecemasan seperti yang sedang berlaku sekarang.
“Maklumat mestilah tepat supaya Jawatankuasa Bencana Daerah dapat menyelaraskan tindakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Royston turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak berasas atau tular tanpa pengesahan, kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan serta spekulasi negatif yang merumitkan keadaan.
“Maklumat yang sahih dan tepat amat penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat, terutamanya dalam menghadapi bencana banjir yang boleh mengancam penduduk,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati semua petugas bencana agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri sebelum menjalankan tugas menyelamat mangsa.
Sementara itu, seramai 53 mangsa daripada 18 keluarga telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kem Belia Mukah, berdasarkan kemas kini terkini pada jam 8.10 malam tadi.
Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mendapatkan maklumat hanya daripada sumber rasmi. –EDISI UKAS