MTMD Miri Perkukuh Tindakan Bersepadu Tangani Ancaman Dadah
MIRI: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Bahagian Miri terus diperkasa menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak Miri, pada Isnin.
Residen Bahagian Miri Galong Luang berkata, platform MTMD amat penting dalam membincangkan isu berkaitan penyalahgunaan dadah di peringkat bahagian sebelum diselaraskan ke peringkat negeri, sekali gus memastikan pelaksanaan dasar, pelan tindakan dan strategi dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
"Cabaran semasa dalam menangani masalah dadah semakin kompleks apabila nilai rampasan terus meningkat secara drastik, dengan methamphetamine atau syabu kekal sebagai ancaman utama.
"Malah, hasil operasi Op Vape 1.0 oleh Polis Diraja Malaysia mendapati dadah jenis baharu dikenali sebagai ‘zombi’ iaitu Furanyl Fentanyl telah mula memasuki pasaran tempatan dan digunakan oleh penagih," katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam mesyuarat tersebut.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan semua pihak untuk memperkukuh sinergi strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
Galong menjelaskan, pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan penglibatan komuniti perlu diperkasakan agar usaha membanteras dadah dapat dilaksanakan secara lebih efektif.
Dalam mesyuarat berkenaan, satu kertas pertimbangan berkaitan pengukuhan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) telah diluluskan, yang memberi fokus kepada pelaksanaan program tersebut di semua jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta. -EDISI UKAS