Perpaduan Masyarakat Majmuk Teras Kestabilan Sarawak
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak merupakan asas utama kepada kestabilan dan kemajuan negeri.
Menurutnya, setiap komuniti mempunyai peranan serta kelebihan tersendiri yang boleh digembleng secara bersama bagi memastikan pembangunan negeri terus inklusif dan seimbang.
“Nilai saling menghormati, memahami dan toleransi perlu terus diperkukuhkan agar keharmonian yang dikecapi selama ini dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Ke-19 Persekutuan Persatuan Teochew Sarawak yang berlangsung meriah di sini pada Ahad.
Tambah beliau, konvensyen seumpama itu merupakan platform penting untuk mempererat hubungan serta kerjasama antara komuniti, di samping menjadi wadah membincangkan hala tuju masa depan masyarakat Teochew, khususnya dalam usaha memelihara warisan budaya.
Majlis tersebut menghimpunkan wakil-wakil persatuan Teochew dari seluruh Sarawak serta negeri lain.-EDISI UKAS