Data Muncul Sumber Baharu, Pacu Hala Tuju Ekonomi Sarawak
MANCHESTER: Data kini muncul sebagai sumber baharu yang semakin penting dalam menentukan hala tuju ekonomi Sarawak seiring perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dalam tempoh sedekad lalu, AI telah merombak keseluruhan struktur ekonomi dunia hasil kemajuan teknologi cip serta keupayaan penyimpanan data yang semakin canggih.
Menurut beliau, perubahan tersebut kini memasuki fasa baharu apabila AI bukan lagi sekadar teknologi sokongan, sebaliknya berkembang menjadi elemen penting dalam menentukan strategi pembangunan.
“Lima tahun lalu kita hanya bercakap mengenai AI, tetapi hari ini ia menjadi sangat penting. Dalam tempoh sepuluh tahun, AI telah berkembang ke tahap lebih tinggi dan dalam lima tahun akan datang, ia akan berkembang menjadi kecerdasan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan strategik bersama pemain industri yang diketuai Ahli Parlimen Manchester Rusholme, Afzal Khan, di British Muslim Heritage Centre pada Isnin waktu tempatan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan data kini berperanan sebagai sumber baharu yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah menjadi asas kepada pelaksanaan tanggungjawab sosial yang lebih efektif.
“Data akan memberikan sesuatu yang baharu kepada kita. Ia adalah sumber yang membolehkan kita bergerak ke hadapan, sama ada dalam ekonomi atau tanggungjawab sosial,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pembangunan teknologi perlu disokong oleh ekosistem menyeluruh merangkumi cip, pusat data dan sistem pengurusan maklumat bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan.
Tambahnya, Sarawak akan terus memperkukuh kapasiti tersebut melalui pembangunan modal insan termasuk menghantar pelajar ke luar negara bagi membina keupayaan intelektual serta pemilikan harta intelek.
Sesi tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang baharu yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan Sarawak dan masyarakat sejagat amnya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak Datu Ir. Ts. Awang Mohd Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Pengarah Unit Perubahan Iklim dan Diplomasi Tenaga Sarawak (SACED) Ir. Dr Angelia Liew San Chuin, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC) Prof. Patrick Then, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan.-EDISI UKAS