KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang menegaskan bahawa al-Quran merupakan panduan lengkap kehidupan umat Islam yang merangkumi aspek dunia dan akhirat.
Menurut beliau, keistimewaan al-Quran bukan sahaja terletak pada bacaan, malah setiap ayat yang didengar turut memberi ganjaran pahala serta menjadi sumber ilmu, rahmat dan keberkatan.
“Al-Quran adalah panduan hidup kita, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Ia menjadi rujukan dalam setiap aspek kehidupan termasuk hubungan sesama manusia dan dengan Allah SWT,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Samarahan 2026 di sini, pada Ahad.
Beliau turut menekankan bahawa penghayatan terhadap al-Quran perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar dibaca semata-mata.
“Program seperti ini amat penting kerana ia bukan sahaja memberi ruang kepada peserta menunjukkan bakat, malah mendekatkan masyarakat dengan al-Quran serta meningkatkan amal ibadah,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Tilawah, Ahmad Abdul Razak berkata penganjuran tahun ini mencatat peningkatan penyertaan memberangsangkan dengan seramai 28 peserta berbanding 23 orang tahun sebelumnya.
Katanya, perkembangan tersebut mencerminkan minat berterusan masyarakat terhadap penghayatan al-Quran serta kejayaan usaha mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.
“Peningkatan ini membuktikan komitmen semua pihak dalam menyokong program keagamaan. Syabas dan tahniah kepada semua peserta serta penduduk Kampung Mang yang bersama-sama menjayakan majlis ini,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan Ismawi Ibrahim dari UiTM Kampus Samarahan dinobatkan sebagai johan kategori qari, manakala Nur Zulfatul Insyirah Zamri dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) menjuarai kategori qariah.-EDISI UKAS