Biro Pendidikan Mukah Salur RM66,800 Insentif Kepada Pelajar Cemerlang dan Guru
MUKAH: Sebanyak RM66,800 diperuntukkan oleh Biro Pendidikan Mukah bagi pemberian insentif kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 serta guru sebagai tanda sokongan dalam memperkasa agenda pendidikan di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, jumlah tersebut mencatatkan peningkatan dua kali ganda berbanding RM33,450 yang disalurkan pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, peningkatan itu seiring dengan pencapaian yang memberangsangkan yang direkodkan dalam keputusan SPM sepanjang tempoh empat tahun pelaksanaan program insentif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2023.
“Dalam tempoh empat tahun ini, kita melihat peningkatan yang amat positif dalam pencapaian peperiksaan, khususnya SPM.
“Kejayaan ini bukan sesuatu yang mudah dicapai tanpa kerjasama erat antara guru, pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), ibu bapa serta usaha gigih murid itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2025, di Hotel Kingwood Mukah, pada Isnin.
Dalam pada itu, Royston yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Mukah menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik atas komitmen berterusan dalam membimbing pelajar mencapai kecemerlangan akademik.
“Tanpa guru, tidak mungkin kita berada pada kedudukan hari ini. Pendidikan bermula daripada sekolah rendah, menengah sehingga ke institusi pengajian tinggi dan semuanya memerlukan bimbingan guru,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, Kerajaan Sarawak terus memperluas akses pendidikan kepada anak negeri menerusi pelaksanaan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Royston menggalakkan ibu bapa memanfaatkan kemudahan pendidikan yang tersedia di Mukah seperti Politeknik Mukah, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) serta institusi latihan kemahiran lain.
Tambahnya, bidang kemahiran kini tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya setara dengan aliran akademik serta berpotensi menawarkan peluang kerjaya yang kompetitif kepada generasi muda.
Hadir sama, Naib Pengerusi Biro Pendidikan Mukah Kaunselor Mohammad Shazwan Seun dan Pegawai Pendidikan Daerah Mukah Awang Yusri Awang Adeni.-EDISI UKAS