Bekalan Keperluan Asas Dihantar Segera Ke Kawasan Terjejas Di Tatau
TATAU: Sebanyak 13,871 bekalan keperluan asas, mencukupi untuk 1,067 individu, telah dihantar ke Nanga Tau dan Penyarai, dua kawasan di daerah ini yang terputus hubungan walaupun tidak dinaiki air.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, sebanyak 2,143 bekalan keperluan asas lagi dihantar ke kawasan terjejas di Ulu Anap, Kakus, Penyarai, Nanga Tau, Sungai Sap Kakus dan Annau.
Menurutnya, penghantaran dilakukan menggunakan Perkhidmatan Helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penduduk yang terjejas mendapat bantuan dengan segera.
"Selain perkhidmatan udara, bantuan makanan ke kawasan terjejas turut disalurkan melalui laluan sungai dan darat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Tatau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau/Sebauh, Bintulu Development Authority (BDA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),"jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau pada Ahad.
Lawatan ini juga disertai Timbalan Residen Bintulu Abang Zainudin Abang Turkey dan Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong Bujang@Endawie.
Dalam pada itu, Dato Sri John Sikie memberitahu, ketika ini, PPS SMK Tatau menempatkan 662 orang mangsa banjir dari Kampung Dagang, Kampung Baru dan Kampung Seberang, serta 38 mangsa tanah runtuh dari Rumah Cherurai dan Rumah Gumbang Tatau.
Selain melawat PPS, Dato Sri John Sikie turut meninjau keadaan banjir di Muput, Kampung Dagang dan Kampung Baru Tatau untuk menilai keperluan bantuan seterusnya. -EDISI UKAS