Setiausaha Kerajaan Sarawak Santuni Mangsa Banjir Di Bekenu
BEKENU: Usaha membantu mangsa banjir terus dipergiat apabila Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turun padang meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Bekenu pada Rabu.
Lawatan itu bertujuan memastikan kebajikan mangsa terjamin serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan.
Sehingga kini, 385 mangsa daripada 47 keluarga telah ditempatkan di PPS tersebut selepas banjir melanda kawasan berkenaan.
Bagi meringankan beban mereka, 67 bakul makanan berisi makanan kering, beras dan air minuman telah disumbangkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Laku Management Sdn Bhd (LAKU).
Sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Amar Mohamad Abu Bakar kepada ketua-ketua kampung untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas.
Menghargai usaha semua pihak dalam pengurusan bencana ini, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti memastikan keperluan mangsa banjir dipenuhi.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat, termasuk petugas PPS dan agensi berkaitan yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu mangsa banjir.
Keprihatinan dan semangat kebersamaan ini amat dihargai,” katanya.
Dalam lawatan sama, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut meninjau PPS SMK Suai serta tapak projek pembinaan baharu Pejabat Daerah Subis di Kampung Rambai Bekenu yang turut terjejas akibat banjir.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Residen Bahagian Miri Galong Luan, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis serta tetamu lain.-EDISI UKAS