ADUN Jepak Gesa PPWS Susun Pelan 10 Tahun Perkukuh Ekonomi Wanita
BINTULU: Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu–Tatau disaran merangka pelan strategik jangka panjang bagi memperkasa keupayaan ekonomi ahlinya secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, perancangan yang komprehensif melibatkan sasaran lima hingga 10 tahun amat penting bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara konsisten serta mampu menjana manfaat berterusan kepada ahli.
Menurut beliau, pendekatan lebih proaktif dan adaptif perlu diambil oleh PPWS agar organisasi itu kekal relevan dalam mendepani perubahan semasa, khususnya dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi wanita di peringkat komuniti.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Projek Siap sumbangan ADUN Jepak yang turut diserikan dengan Sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Bangunan PPWS Daerah Bintulu–Tatau serta Ramah Tamah Aidilfitri, pada Khamis.
Tambahnya, penekanan terhadap peningkatan kemahiran, pengetahuan serta akses kepada maklumat perlu diperkasa bagi membolehkan ahli menjana pendapatan secara lebih efektif, termasuk melalui aktiviti ekonomi seperti perusahaan kecil dan perkhidmatan katering.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penggunaan tenaga solar sebagai langkah meningkatkan kecekapan operasi premis di samping mengurangkan kos, selari dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Selain memperkasa ekonomi, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan ahli termasuk mereka yang berdepan cabaran kesihatan, kewangan dan sosial agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.-EDISI UKAS